Tuesday, January 12, 2010

Pihak Yang Terlibat Dalam Projek Pembinaan

Proses yang terlibat:

Dalam industri pembinaan terdapat proses-proses yang perlu dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi memastikan kelancaran sebelum, semasa, dan selepas projek pembinaan dijalankan. Perancangan yang teliti dan sempurna adalah penting untuk dititik beratkan oleh pihak yang berkenaan dalam memastikan kelancaran metodlogi sesebuah projek tersebut.
Mereka yang dipertanggungjawabkan dalam bidang tertentu perlulah menjalankan tugas serta kewajipan dengan tulus dan jujur serta ikhlas. Antara langkah yang perlu dalam memastikan kelancaran sesebuah projek seperti yang telah digariskan oleh RIBA (Royal Institute of British Architect) ialah :

Peringkat Perancangan
a. Permulaan (insepsi)
b. Kajian kemungkinan (feasibility study)
c. Cadangan lakaran (outline proposal)
d. Rekabentuk kasar (scheme design)
e. Rekabentuk terperinci (detail design)
f. Penghasilan maklumat (production information)
g. Senarai kuantiti ( bill of quantity )
h. Proses penenderan (tender action)
i. Perancangan projek (project planning)

Peringkat Kritikal
a. Operasi ditapak (operation on site)
b. Penyiapan (completion)
c. Maklum balas (feedback)

Secara amnya proses-proses ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat perancangan dan peringkat kritikal seperti yang ditunjukkan di atas. Melalui perancangan yang berkesan belum memberi jaminan kepada penghasilan sesuatu projek yang telah dirancang bagi memiliki mutu dan kualiti yang tinggi dalam erti kata yang lain menepati segala ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh pihak perancang.

Hasil akhir sesuatu projek pembinaan bergantung kepada daya kerja yang ditunjukkan oleh pihak perlaksana projek iaitu kontraktor. Melalui mutu kerja yang tidak berkualiti dan kurang bermutu akan menghasilkan sesuatu produk yang tidak menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh pemilik bangunan dan pihak perancang.

1. Peringkat permulaan (insepsi)

Pada peringkat ini, satu proses disediakan untuk menyediakan garis kasar umum keperluan dan merancang tindakan bagi masa hadapan. Tujuannya adalah untuk membolehkan klien mendapatkan kos yang sesuai supaya arkitek, jurutera, jurukur bahan dan pihak – pihak yang terlibat dapat menafsirkan kehendak klien dengan betul. Pada peringkat permulaan ini, banyak faktor projek yang tidak dapat diketahui dengan jelas. Oleh kerana itu, kemungkinan terdapat keinginan untuk menangguhkan isu tentang cara projek dibuat. Oleh kerana ia adalah keputusan yang mungkin paling penting yang harus dicapai, serta menyumbang kepada penyelesaian isu – isu yang lain, ia menjadi tugas pertama yang harus diuruskan oleh klien. Pihak – pihak yang terlibat bagi proses ini ialah pihak klien itu sendiri dan pihak arkitek.


Pihak – pihak yang terlibat dan tugasnya:

Klien
Fungsi klien pada peringkat permulaan ini ialah :
1. Klien juga bakal melantik pengurus projek bagi pihaknya. Ia berfungsi sebagai pengurus bagi sesuatu projek untuk pihak klien.
2. Menubuhkan jawatankuasa mengelola projek mengikut keperluan jika projek yang hendak dijalankan itu merupakan projek mega ataupun memerlukan penggunaan kos yang besar.
3. Klien juga berperanan untuk menyediakan taklimat projek yang hendak disampaikan,jadual masa dan belanjawan yang dapat diberikan.
4. Klien berkuasa untuk memberi arahan tentang tindakan yang selanjutnya yang harus dilakukan.

Arkitek
1. Arkitek juga akan berperanan untuk menyediakan program ruang lantai untuk bangunan yang akan didirikan.
2. Arkitek akan menyediakan lakaran untuk menggambarkan penyelesaian alternatif samada ianya sesuai ataupun tidak dengan kehendak klien.
3. Arkitek pula berperanan untuk memeriksa keperluan pengguna dan bangunan itu sendiri dan jenis bangunan yang hendak didirikan.
4. Arkitek juga akan memeriksa peraturan perancangan tempatan yang sedia ada supaya projek tersebut tidak melanggar peraturan.


2. Kajian Kemungkinan (feasibility study)

Pada peringkat ini, pihak perunding akan menyediakan satu pentaksiran dan cadangan untuk menentukan perlaksanaan projek, kebolehsanaannya secara fungsi teknikal dan kewangan, bagi pihak klien.Dari segi teknikalnya, projek tersebut bergantung kepada tempat yang hendak dijalankan , samada ia terletak di kawasan yang mempunyai nilai komersil yang tinggi seperti di bandar, ataupun kawasan yang mempunyai nilai komersil yang kurang seperti kawasan pedalaman.Jika projek yang hendak dijalankan tidak diramal, ia berpotensi untuk gagal dalam jangkamasa yang panjang.Dari segi kewangannya pula, ia adalah satu faktor yang penting untuk menggerakkan projek tersebut. Proses kajian kemungkinan ini boleh menjimatkan kos kerana segala kelemahan dan kekurangan sudah dikenalpasti. Pihak- pihak yang terlibat di dalam proses ini ialah pihak perunding seperti arkitek, jurukur bahan dan badan professional yang lain.


Pihak – pihak yang terlibat dan tugasnya

Arkitek
1. Beliau juga akan memaklumkan hasil kajian tersebut kepada pihak klien.
2. Kemudian, beliau akan mengadakan mesyuarat mengenai kajian yang dijalankan.
3. Pihak arkitek akan membuat lawatan ke tapak (site investigation) untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas untuk membuat kajian.

Perancang bandar
1. Beliau akan mendapatkan maklumat Pihak Berkuasa tempatan berkenaan pengezonan terhadap kawasan yang hendak dibangunkan samada ianya telah dizonkan sebagai kawasan perumahan,industri atau komersil.
2. Beliau akan membuat kajian ke atas struktur geografi atau bentuk muka bumi ataupun permukaan tanah yang hendak dijalankan projek.
3. Beliau juga bertanggungjawab untuk menyediakan Laporan CadanganPembangunan (LCP)
4. Kemudian, beliau akan menyediakan pelan susur atur bagunan yang sesuai dengan projek yang dijalankan.

3. Cadangan lakaran (outline proposal)

Semasa peringkat ini, pihak perunding akan menentukan pendekatan umum mengenai susun atur, rekabentuk, serta pembinaan untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak klien. Ini penting bagi menentukan kedudukan peralatan, bahan binaan, serta bangunan sementara adalah berada pada kedudukan yang selamat serta tersusun. Semasa peringkat ini juga, anggaran kasar bagi projek berkenaan dapat ditentukan oleh jurukur bahan. Pada peringkat ini juga, cadangan altenatif juga perlu ditimbangkan mengikut kesesuaian projek berkenaan.

Pihak yang terlibat dan tugasnya:

Arkitek
Arkitek akan melakukan cadangan lakaran mengikut gambaran awal yang diberikan oleh pihak klien. Pihak arkitek juga perlu memberikan penerangan mengenai cadangan lakaran yang telah dibuat kepada klien. Arkitek juga perlu bersedia untuk membuat perubahan sekiranya diminta oleh klien.

Klien
Memberikan gambaran mengenai projek yang ingin dijalankan kepada arkitek bagi membolehkan cadangan lakaran dilakukan oleh arkitek. Setelah cadangan lakaran dibuat klien akan melakukan penilaian terhadap lakaran yang telah dilakukan oleh pihak arkitek. Klien boleh memberikan komen serta cadangan mengikut kehendaknya dengan perbincangan bersama pihak arkitek.

Jurukur Bahan
Jurukur bahan akan melakukan kos anggaran kasar bagi projek berkenaan berdasarkan cadangan lakaran yang telah dipersetujui oleh pihak klien. Anggaran kos ini adalah penting untuk mendapatkan kos kasar bagi sesuatu projek yang masih dalam perangcangan tersebut. Melalui anggaran kos kasar ini akan dapat membantu untuk merekabentuk bahan yang sesuai digunakan bagi projek tersebut berpandukan anggaran kos yang telah disediakan dan adalah berpatutan dengan saiz projek tersebut.


4. Rekabentuk Kasar (scheme design)

Pada peringkat ini, pihak-pihak yang terlibat akan menyiapkan penyataan dan memutuskan cadangan tertentu, termasuk keterampilan susunan perancangan kaedah pembinaan, spesifikasi kasar dan kos serta mendapatkan kesemua kelulusan yang diperlukan.
Butir-butir yang terperinci perlu diserahkan oleh pihak perunding kepada klien mengenai rekabentuk kasar ini. Klien boleh untuk bersetuju ataupun tidak dengan rekabentuk kasar yang disediakan oleh pihak perunding. Sekiranya klien tidak bersetuju, pihak perunding perlulah melakukan perubahan terhadap rekabentuk kasar tersebut sehinggalah pihak klien berpuas hati dan bersetuju dengan rekabentuk kasar tersebut.

Pihak yang terlibat dan tugasnya:

Klien
Klien akan memberikan gambaran mengenai rekabentuk yang diinginkan mengikut kesesuaian kepada pihak perunding iaitu arkitek yang dilantik.
Klien juga perlulah memberikan anggaran kasar yang diperuntukkan unutk projek berkenaan. Dengan itu, membolehkan arkitek membuat rekabentuk kasar berdasarkan anggaran kos tersebut. ini penting bagi menggelakkan lebihan kos.


Pihak perunding

Arkitek
Arkitek akan membuat lakaran mengenai rekabentuk keseluruhan projek secara kasar berdasarkan gambaran dan anggaran kos yang dinyatakan oleh pihak klien.

Jurukur bahan
Setelah rekabentuk kasar dilakukan oleh pihak klien, jurukur bahan akan membuat anggaran kos berdasarkan lakaran rekabentuk kasar tersebut. Jurukur bahan perlulah mengambil kira kos-kos yang terlibat seperti kos bahan dan kos buruh. Apabila anggaran kos secara kasar dilakukan, jurukur bahan akan berbincang berhubung anggaran kos tersebut dengan pihak klien.

5. Rekabentuk Terperinci (Detail Design)

Pada peringkat ini, segala lukisan dan pelan yang menunjukkan rekabentuk terperinci telah disediakan mengikut kehendak klien. Keputusan akhir untuk rekabentuk terperinci ini merangkumi rekabentuk bangunan serta pengiraan yang berkaitan dan susun atur bangunan yang hendak dibina.

Disamping itu, antara perkara lain yang terkandung juga ialah spesifikasi terhadap bangunan tersebut, anggaran kos akhir pembinaan, program pengeluaran permulaan, serta jadual waktu. Sekiranya berlaku sebarang pindaan dan perubahan di dalam taklimat projek selepas peringkat ini, contohnya seperti perubahan dari segi lokasi pembinaan, saiz dan rekabentuk bangunan tersebut, ia akan menyebabkan kos keseluruhan projek pembinaan tersebut bertambah.
Selain itu, di peringkat ini juga keputusan penerimaan ataupun kelulusan daripada pihak berkuasa mengenai peraturan pembinaan bangunan berkenaan akan dibincangkan sepenuhnya.

Pihak yang terlibat dan tugasnya:

Jurutera
Beliau berperanan dalam melakukan penyelidikan, analisis serta kajian terhadap rekabentuk secara terperinci bagi struktur pembinaan yang hendak dibina.
Tujuan kajian dijalankan adalah untuk memastikan bahawa setiap struktur binaan yang akan dibina mampu untuk menampung jumlah beban yang dibenarkan. Selain itu, ia juga untuk memastikan tahap keselamatan bagi struktur bangunan tersebut. Kajian serta analisis yang dilakukan oleh jurutera bukan sahaja merangkumi aspek struktur bangunan, malah juga melibatkan sistem mekanikal dan elektrikal yang terdapat pada bangunan itu.

Arkitek
Ketika di peringkat ini, arkitek yang terlibat diminta untuk menyediakan cadangan rangka serta rekabentuk skim. Perkara-perkara ini termasuklah rekabentuk projek dan rekabentuk awal tentang kerja-kerja yang dijalankan di tapak bina. Selain itu, arkitek juga diminta untuk menyediakan pelan dan lukisan struktur bagi asas bangunan, kedudukan grid saliran serta laluan kemudahan.

Jurukur Bahan
Jurukur bahan biasanya bertanggungjawab dalam menyediakan pelan kos pembinaan tersebut secara terperinci. Setelah itu, pihak ini juga berperanan untuk melakukan semakan terhadap pelan kos yang telah diperoleh dan diminta untuk mengkaji dengan lebih teliti jumlah pelan kos yang diperolehi bagi mendapatkan satu jumlah keseluruhan yang sesuai. Penyediaan bil kuantiti (bill of quantities) juga dilakukan oleh jurukur bahan. Setelah itu, peranan lain yang dimainkan oleh pihak ini ialah menyediakan satu jumlah mengenai anggaran kos keseluruhan projek.

Kontraktor
Adalah pihak yang diberi kepercayaan untuk merealisasikan idea daripada pihak Arkitek dan Jurutera serta mengaplikasikan rekabentuk di dalam pelan kepada rekabentuk yang lebih realiti dan nyata ataupun dengan kata lain, pihak yang bertanggungjawab menjalankan projek pembinaan yang telah dirancang dan diminta oleh pihak klien. Kerja-kerja pembinaan yang dijalankan mestilah mengikut langkah-langkah serta spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Arkitek dan Jurutera. Sebarang masalah yang timbul sebelum, semasa dan selepas proses pembinaan ini adalah menjadi tanggungjawab kontrkator untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa seperti Arkitek, Jurutera dan pihak berkuasa tempatan.

6. Penghasilan Maklumat

Pada peringkat ini, ia akan menyediakan satu maklumat mengenai pegeluaran dan keputusan secara terperinci akan dibuat mengenai jadual kerja untuk projek tersebut dan menentukan spesifikasi yang sesuai. Pada peringkat ini juga segala lukisan yang lebih terperinci akan dihasilkan oleh perekabentuk ataupun perunding.

Pihak yang terlibat dan tugasnya:

Pihak perunding (consultant)
Bertanggungjawab untuk menghasilkan maklumat yang lengkap dan tepat samada secara bertulis atau daripada pelan agar tidak mengelirukan pihak kontraktor untuk melaksanakan pembinaan bangunan tersebut. Ini bertujuan untuk memberikan kelancaran dan kelicinan semasa projek pembinaan tersebut sedang dijalankan. Maklumat yang diberikan mestilah mendapat kelulusan sepenuhnya dari pihak-pihak atasan.

Kontraktor
Pihak kontraktor pula akan diberi kepercayaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak Jurutera dan Arkitek. Sekiranya terdapat sebarang masalah semasa pembinaan dibina, ia hendaklah dirujuk kepada pihak Arkitek ataupun Jurutera.

7. Senarai Kuantiti (Bill Of Quantities)

Aktitviti yang dijalankan pada peringkat ini ialah menyediakan senarai kuantiti yang mana proses ini hendaklah dilakukan dengan teliti di mana ketepatan membuat senarai kuantiti amat penting bagi mengelakkan sebarang masalah timbul semasa proses pembinaan.
Senarai ini akan digunakan untuk proses tender pada peringkat yang seterusnya. Kerja-kerja yang teliti dan sukar perlu mendapatkan perhatian yang lebih supaya tiada sebarang kesalahan yang akan timbul pada kemudian hari.

Pihak yang terlibat dan tugasnya:

Jurukur Bahan
Pihak Jurukur bahan akan menyediakan satu senarai kuantiti untuk dimasukkan ke dalam dokumen tender. Pihak Jurukur Bahan hendaklah memastikan bahawa dokumen tender yang dikeluarkan adalah lengkap dengan segala dokumen dan borang-borang yang berkaitan, seperti pelan tapak dan pelan lokasi, lukisan tender, borang tender, spesifikasi, senarai kuantiti serta syarat- syarat tender disertakan. Pihak Jurukur Bahan juga bertindak sebagai penasihat kepada pihak pemilik di dalam memilih kontraktor-kontraktor yang benar-benar layak untuk mendapatkan tender. Selalunya harga tender yang paling hampir dengan harga yang telah ditetapkan oleh pihak jurukur bahan dan merupakan harga yang munasabah adalah menjadi faktor utama pemilihan kontraktor untuk memenangi sesuatu tender yang telah ditawarkan. Pihak Jurukur Bahan juga menyediakan anggaran kos berdasarkan data kos yang terdahulu tentang projek yang mempunyai spesifikasi dan rekabentuk yang serupa, pentaksiran kos tambahan kerana ciri-ciri khas serta membuat rumusan mengenai kaedah kawalan kos.

8. Tindakan Tawaran ( Tender Action)

Peringkat ini bertujuan untuk mempelawa dan melantik pihak kontraktor yang berminat untuk mengikat kontrak dengan pihak pemilik agar memasuki tender bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan dan mendapatkan harga tender yang boleh diterima. Pihak Jurukur Bahan hendaklah mengeluarkan tender dalam jangkamasa yang telah ditetapkan bagi mengelakan kelewatan. Pihak pengurusan perlu memberikan bantuan teknikal dengan menyediakan dokumen dan borang untuk keperluan kontrak.
Secara asasnya, jika dilihat dari keadaan sebenar di dalam industri pembinaan pemilihan kontraktor kebanyakannya berdasarkan sumber bahan binaan yang paling ekonomik, munasabah dan pemilikan jentera oleh pihak kontraktor tersebut.

Pihak yang terlibat dan tugasnya:

Pemilik
Pada peringkat ini pihak pemilik mempunyai peranan untuk menandatangani dokumen kontrak. Menyediakan keperluan kewangan untuk digunakan pada peringkat ini. Pihak pemilik juga akan menguruskan insuran yang dikehendaki. Pada peringkat ini pihak pemilik akan menyelia kemajuan kerja serta memberi kelulusan mengenai peningkatan kos yang dilihat sebagai wajar.

Jurukur Bahan

Tugas mengiklankan tender kepada kontraktor-kontraktor yang berkelayakan ditugaskan kepada jurukur bahan. Tujuan mengeluarkan dokumen tender ini adalah untuk membuat penilaian harga bahan yang berdasarkan kepada harga semasa.

Seterusnya penilaian akan dibuat terhadap penyerahan tender yang dilakukan oleh pihak kontraktor. Kontraktor yang berjaya akan diserahkan kontrak oleh Jurukur Bahan. Pihak Jurukur Bahan akan memaklumkan kepada pihak klien mengenai kontraktor yang berjaya di dalam proses tawaran tersebut.

Kontraktor
Kontraktor bertindak menyediakan dan mengemukakan tender yang telah siap kepada Jurukur Bahan. Kontraktor juga perlu mengemukakan dan mentafsir kaedah pembinaan yang lebih efisyen dari segi kos dan implikasi terhadap masa.
Kontraktor perlulah mendapatkan penggunaan bahan secara khusus berserta tekniknya dan perlu membuat perancangan untuk program di dalam pembinaan yang akan dijalankan. Kontraktor juga perlu mendapatkan sebut harga daripada kontraktor kecil untuk membuat anggaran

9. Perancangan Projek (Project Planning)

Untuk peringkat ini, ia membolehkan pihak konktraktor merancang kerja selaras dengan syarat kontrak yang telah dipersetujui dengan pihak pemilik. Peringkat ini terbahagi kepada dua yakni program jangka panjang dan susun atur tapak. Sebagai perancangan kepada pengurusan keseluruhan projek, jadual kemajuan kerja atau jadual Kaedah Laluan Genting (CPM) perlu disediakan oleh pihak kontraktor untuk menjamin kelancaran proses pembinaan projek yang sedang berlangsung.

Pihak kontraktor juga perlu memastikan susun atur tapak dirancang dengan baik supaya tidak berlaku sebarang gangguan semasa kerja pembinaan berjalan. Susun atur tapak adalah terdiri daripada elemen seperti jalan keluar masuk sementara, penempatan bangunan sementara dan kemudahan air serta elektrik di tapak.

Pihak yang terlibat dan tugasnya:

Kontraktor
Semasa kerja pembinaan dijalankan pihak kontraktor perlulah menyediakan satu jadual masa yang telah dirancang dengan teliti berdasarkan had waktu seperti yang telah dipersetujui di dalam kontrak.

Pihak pengurusan kontraktor di tapak bina perlu memastikan bahan dan kelengkapan yang diperolehi mencukupi serta mengikut masa yang telah ditetapkan. Pihak kontraktor juga perlu merancang mengenai kaedah yang bersesuaian untuk memulakan projek tersebut dengan cara yang lebih teratur dan seimbang supaya proses perlaksanaan projek tidak tergendala.
Jenis pembiayaan kewangan dan dari mana sumber kewangan tersebut diperolehi juga perlu ditetapkan oleh pihak kontraktor untuk kegunaan sepanjang projek.

Pihak perunding
Pihak perunding akan memberikan khidmat nasihat mengenai jumlah pembiayaan yang perlu disediakan oleh pihak kontraktor supaya proses pembinaan berjalan dengan lancar. Pihak perunding juga akan menetapkan masa pembinaan projek di dalam dokumen kontrak. Pihak perunding juga perlu menyediakan lukisan tender dan lukisan pembinaan dengan tepat supaya tidak mengganggu kelancaran perjalanan projek.

Pihak kewangan
Pihak kewangan perlu menilai kemampuan pihak kontraktor dalam permohonan pinjaman yang dibuat untuk pembiayaan keseluruhan projek. Pihak kewangan perlu menyediakan pembiayaan dengan secukupnya pada masa yang telah ditetapkan. Perlu mengeluarkan ‘ performance bond ‘ kepada pihak Kontraktor sebagai wang jaminan untuk menjalankan sesuatu projek.

10. Operasi di tapak (operation on site)

Peringkat operasi di tapak bina merupakan matlamat utama kepada perancangan yang telah disusun, iaitu merealisasikan dari bentuk lukisan kepada fizikal iaitu bangunan. Oleh itu kerja-kerja membina dan menyiapkan bangunan di tapak bina akan beroperasi. Pihak kontraktor dikehendaki memenuhi segala keperluan dan spesifikasi lukisan yang telah ditetapkan bagi mengelakan sebarang masalah pada masa akan datang.
Persefahaman yang tinggi adalah merupakan aset terpenting bagi pihak-pihak yang terlibat dalam proses perlaksanaan projek.

Pihak yang terlibat serta tugasnya :

Kontraktor
Kontraktor merupakan pihak yang akan merealisasikan lukisan yang disediakan oleh pihak perunding samada pihak arkitek mahupun jurutera kepada bentuk dan saiz sebenar yang telah ditetapkan mengikut spesifikasi lukisan dan kontrak.
Kontraktor akan melaksanakan proses pembinaan dari awal hinggalah projek tersebut siap mengikut segala syarat kontrak yang telah ditetapkan.

Penyelia kerja
Menyelia kerja kontraktor ditapak bina bagi memastikan mutu kerja mencapai piawaian sejajar dengan spesifikasi yang telah ditetapkan di dalam kontrak. Memberikan khidmat nasihat kepada pihak kontraktor mengenai kaedah kerja dan penafsiran lukisan.

Subkontraktor
Subkontraktor akan menjalankan kerja-kerja pembinaan mengikut kepakaran masing-masing berpandukan spesifikasi yang ditetapkan di dalam kontrak. Pihak Subkontraktor juga bertanggungjawab dalam membuat sebarang pesanan bahan dan menjalankan kerja pembinaan dengan penuh komitmen. Mutu kerja yang baik dan pemilihan bahan yang berkualiti perlu diberi perhatian oleh pihak Subkontraktor untuk menjamin kekukuhan sesebuah bangunan. Subkontrator ini adalah terbahagi kepada dua salah satunya adalah ‘ sub labour ‘ yang hanya membekalkan pekerja atau tenaga kerja bagi sesuatu kerja dan menggunakan bahan yang disediakan oleh pihak Kontraktor utama. ‘ Total sub ‘ pula adalah subkontaktor yang menjalankan kerja dengan membekalkan tenaga kerja dan menggunakan bahan yang diperolehi sendiri daripada pembekal dengan cara atau inisiatif sendiri.

Pihak perunding

Arkitek
Arkitek memastikan segala bahan-bahan binaan dan mutu kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor adalah mengikut spesifikasi yang telah digariskan oleh kontrak.
Pihak Arkitek juga berhak memecat mana-mana pekerja di tapak bina jika melakukan sebarang aktiviti yang boleh membahayakan para pekerja ditapak dan mempunyai nilai moral yang rendah.

Apabila kerja-kerja pembinaan dianggap siap dan segala spesifikasi telah mengikut segala kehendak di dalam kontrak, maka pihak Arkitek bertanggungjawab dalam mengeluarkan sijil perakuan siap kerja praktikal seperti yang dinyatakan didalam fasal 15 (1) PAM 69.

Jurukur Bahan
Jurukur Bahan akan membuat penilaian kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor berdasarkan jadual kemajuan kerja yang disediakan dan aktiviti di tapak bina.
Gambaran tentang kemajuan kerja yang telah dilakukan oleh pihak kontraktor pada bulan yang terbabit juga akan diberitahu oleh pihak Jurukur Bahan di dalam mesyuarat bulanan yang dijalanakan di tapak bina.

Jika terdapat perubahan kerja ataupun pertambahan kos semasa proses pembinaan, maka pihak Jurukur Bahan adalah bertanggungjawab untuk menilai semua kerja-kerja yang terbabit.

Pembekal Bagi Bahan dan Peralatan
Pembekal berperanan untuk membekalkan bahan-bahan binaan dan juga peralatan bagi pembinaan di tapak bina. Pihak pembekal juga bertanggungjawab mendapatkan segala keperluan yang dikehendaki oleh pihak perunding dan kontraktor. Tanggungjawab pihak pembekal juga adalah memastikan barang-barang dan bahan yang dikehendaki diserah hantar ke tapak bina berada dalam keadaan selamat dan baik. Bekalan yang tidak mengikut kehendak dan spesifikasi yang telah ditetapkan akan menyebabkan bahan yang telah dihantar ke tapak perlu di pulangkan dan kos penghantaran itu adalah tanggungan sendiri oleh pikah pembekal tersebut.

Tenaga Kerja
Tenaga kerja untuk menjalankan kerja-kerja di tapak bina perlu mencukupi untuk memastikan kelancaran kerja berdasarkan kontrak yang telah selesai dipersetujui oleh pihak kontraktor.
Para pekerja juga dikehendaki untuk mematuhi sebarang arahan dari pihak kontraktor mahupun dari pihak perunding

Pihak kewangan
Menyediakan pinjaman sebagai modal untuk pihak kontraktor dalam masa menyiapkan projek. Membantu pihak kontraktor jika terdapat sebarang masalah kewangan.

11. Penyiapan (completion)

Proses ini merupakan satu proses dimana pihak kontraktor akan menyerahkan bangunan yang telah dibina kepada pihak klien setelah pemeriksaan dilakukan serta mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Urusan kewangan juga akan dilaksanakan dan diselesaikan pada peringkat ini dan hanya wang tahanan sebanyak 5 % sahaja akan ditahan daripada diberikan kepada kontraktor bagi kerja-kerja pembaikan selepas proses penyerahan ini.

Pihak yang terlibat serta fungsi:

Klien
Merupakan pihak yang akan menerima bangunan yang telah siap dibina oleh pemaju untuk digunakan.

Kontraktor
Pihak yang akan menyerahkan bangunan yang telah dibina kepada pihak klien. Pihak kontraktor akan sanggup menerima segala arahan pembaikan kerosakan yang masih kelihatan oleh klien.

Pihak Berkuasa (JKR)
Pihak JKR akan menilai pembinaan tersebut dari segala aspek samada struktur bangunan itu sendiri atau kemudahan bangunan yang disediakan. Perlu mengeluarkan sijil layak menduduki bagi setiap bangunan yang telah siap dibina dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

12. Maklumbalas (feedback)

Pada peringkat ini, bangunan yang telah siap dibina akan dianalisis samada berkualiti atau tidak. Kontraktor akan dimaklumkan oleh klien jika kualiti binaan yang dihasilkan tidak memuaskan akar tindakan susulan untuk memperbaiki kualiti binaan dapat dibuat.

Pihak yang terlibat serta fungsi:

Klien
Pihak ini akan menyatakan komen mereka terhadap hasil binaan yang telah dihasilkan. Jika mereka tidak berpuas hati, perkara ini akan dimaklumkan kepada kontraktor yang bertanggungjawab lalu pihak kontraktor tersebut perlu memperbaiki segala kecacatan yang telah dikenalpasti pada binaan tersebut.

Kontraktor
Pada peringkat ini, pihak kontraktor akan menerima komen daripada klien dan pihak berkuasa berkenaan hasil binaan yang telah dihasilkan. Jika terdapat ketidakpuasan daripada kedua-dua pihak ini, pihak kontraktor perlulah mengambil tindakan dengan membaiki segala kecacatan tersebut.

Pihak berkuasa
Pihak berkuasa biasanya akan memberi jawapan pada pihak pemaju berkenaan keputusan penilaian yang telah dibuat pada peringkat penyiapan. Jika masih terdapat kecacatan pada binaan, mereka berhak mengarahkan pihak pemaju untuk membaiki kecacatan tersebut.

Rujukan:

1. Nota Kuliah Site Management (BLD 305).
2. Project Management For Construction (1989), Chris Hendricson and Tung Au, Prentice Hall, Englewood Cliffs, New Jersey 07632.

1 comment: