Pada kebiasaannya apabila disebut kontrak turnkey atau projek turnkey, kita akan membayangkan satu projek yang besar (mega) yang mungkin melibatkan kos yang bernilai beratus-ratus juta ringgit. Kontraktor yang menjalankan projek ini pula adalah kontraktor besar yang berpengalaman dan mempunyai modal yang berjuta-juta ringgit. Terdapat banyak projek-projek turnkey yang sedang dijalankan di Malaysia dan di kawasan Alor Setar, Kedah sahaja yang diketahui buat masa ini terdapat dua projek turnkey. Projek pertama ialah Projek Hospital Baru Alor Setar, Jalan Langgar dan Projek Menaik Taraf Jalan Kepala Batas menjadi Lebuh Raya Jitra.
Buat masa sekarang terdapat dua projek hospital baru di Kedah sahaja. Salah satunya di Sungai Petani dan Alor Setar. Kedua-dua projek hospital ini dijalankan dengan kaedah turnkey. Kita mungkin tertanya-tanya kenapa projek-projek ini dijalankan secara turnkey?. Apakah kelebihan-kelebihan kontrak turnkey?. Bagaimana mengenalpasti projek yang dijalankan adalah sebuah projek turnkey?. Pada dasarnya kontrak turnkey diadakan untuk projek-projek mega yang memerlukan kepakaran yang tinggi dan projek-projek yang rumit.
Dalam Rancangan Malaysia Ke Tujuh terdapat banyak projek-projek yang dijalankan dengan pendekatan turnkey. Ini bagi memudahkan pihak kerajaan (J..K.R) mengawasi projek-projek tersebut dan menjimatkan kos pengurusan.
Pengertian Kontrak Turnkey
Seperti yang diketahui makna kontrak ialah perjanjian di antara dua pihak yang bersetuju di mana satu pihak menawarkan kerja (majikan) dan satu pihak lagi bersediakan menjalankan kerja-kerja yang ditawarkan (kontraktor). Turnkey pula bermakna menyerahkan kunci apabila projek siap kelak. Kontrak turnkey yang ditakrifkan di dalam bahan rujukan membawa maksud satu perjanjian di antara majikan yang mencadangkan projek dengan kontraktor di mana kontraktor bertanggungjawab merekabentuk, menyiapkan dan membiayai kos-kos pembinaan sehingga projek yang dicadangkan siap (Hand Over). Majikan hanya membuat pembayaran setelah projek siap (apabila kontraktor menyerahkan kunci).
Apa yang dimaksudkan di sini, kontraktor mempunyai kuasa ke atas projek dan boleh menentukan apa yang patut dilakukan ke atas projek yang sedang dijalankan (membuat keputusan).
Ini kerana kontraktor adalah sebagai majikan sehinggalah projek diserahkan. Saya berkata demikian kerana kontraktor turnkey adalah kontraktor yang mengeluarkan modal untuk menjalankan projek dan memastikan projek berjalan mengikut apa yang terkandung dalam perjanjian untuk memastikan projek dapat disiapan dan diserahkan secara sempurna bagi mendapatkan bayaran daripada majikan.
Di sini kontraktor hendaklah memberi jaminan bahawa rekabentuk yang dicadangkan kepada majikan ‘layak untuk maksud ianya hendak digunakan’ dan mendapatkan persetujuan majikan. Ini penting kerana kontraktor bertanggungjawab terhadap majikan di atas apa-apa kecacatan yang timbul dari kesilapan rekabentuk. Ini bermakna kontraktor bertanggungjawab walaupun itu bukanlah berpunca dari kesalahan dan kecuaiannya.
Kepentingan dan Kebaikan Kontrak Turnkey
Kontrak turnkey selalunya digunakan untuk projek-projek mega yang memerlukan kepakaran yang tinggi dan rumit. Ini kerana projek-projek ini memerlukan pengawasan yang tinggi dan modal yang besar. Oleh itu projek ini akan memakan masa yang lama. Terdapat beberapa faktor di mana konsep turnkey perlu diketengahkan iaitu :
a) Desakan daripada pihak-pihak ke atas projek di dalam perancangan.
b) Kekurangan kepakaran dari segi teknikal.
c) Majikan hendak mengurangkan beban dan tanggungjawab terhadap projek.
d) Kesuntukan masa.
- Desakan daripada pihak-pihak ke atas projek di dalam perancangan.
Setiap tahun terdapat perancangan dan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi kemudahan dan keselesaan rakyatnya. Pihak yang bertanggungjawab terhadap perlaksanaan projek-projek ini ialah Kementerian Kerja Raya dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (J.K.R) bagi mengawasi dan menjadikan ianya satu realiti. Seperti yang kita ketahui tanggungjawab ini sangat berat dan kadang-kadang mendatangkan masalah apabila projek-projek lama yang di dalam perancangan belum sempat dijalankan terganggu dengan perancangan-perancangan baru yang sedang dirancangan. Bagi mengelakkan masalah-masalah ini pendekatan turnkey dicadangkan di mana ianya hanya perlu majikan menyediakan cadangan projek dan yang lainnya akan diuruskan oleh pihak kontraktor turnkey. Dalam masa yang sama majikan tidak perlu memikirkan projek-projek di bawah kontraktor turnkey dan masa itu boleh digunakan untuk melaksanakan perancangan-perancangan yang telah dirancangkan. Pada kebiasannya projek-projek mega yang memerlukan pengawasan dan kepakaran teknikal yang tinggi akan diserahkan kepada kontraktor turnkey. Contoh-contoh projek yang diberikan kepada kontraktor turnkey ialah hospital dan lebuhraya.
- Kekurangan dari Segi Teknikal
Ada kalanya pihak majikan (kerajaan) kekurangan kepakaran di dalam sesuatu projek atau tidak berpengalaman mengawasi projek tertentu. Ini akan mendatangkan masalah dan cara penyelesaiannya ialah kontraktor boleh mencari kontraktor yang mempunyai pengalaman dan kepakaran bagi menjalankan projek tersebut. Dengan ini pendekatan turnkey boleh digunakan dan sangat sesuai. Contoh-contoh projek yang memerlukan kepakaran yang tinggi dan dijalankan dengan konsep turnkey ialah Jambatan Pulau Pinang dan Empangan Kenyir.
- Majikan hendak mengurangkan beban dan tanggungjawab ke atas projek
Seperti yang diketahui, pendekatan turnkey akan mengurangkan penglibatan majikan di dalam sesuatu projek. Sesetengah majikan tidak berminat atau tidak mempunyai pengalaman untuk menguruskan projek. Dengan adanya pendekatan turnkey majikan boleh membuat pilihan dan hanya perlu memberi cadangan mengenai projek yang hendak dijalankan.
-Kesuntukan Masa
Majikan yang menghadapi masalah kesuntukan masa boleh memilih pendekatan turnkey kerana majikan hanya perlu mencari kontraktor untuk melaksanakan cadangan. Tidak seperti kontrak lain di mana majikan memerlukan masa untuk mencari Arkitek untuk menyediakan lukisan, Jurukur Bahan untuk mengeluarkan tender dan perlukan masa untuk mendapatkan kontraktor bagi melaksanakan projek. Di dalam turnkey kontraktor bertanggungjawab menyediakan rekabentuk dan melaksanakan projek mengikut masa yang ditetapkan. Dengan ini majikan tidak perlu membazirkan masa menyediakan dokumen tawaran dan mencari kontraktor yang sesuai untuk menjalankan projek.
Faktor-faktor Pemilihan Kontraktor Turnkey.
Ini adalah perkara penting dan utama dalam permulaan sesebuah projek turnkey. Kontraktor turnkey akan dipilih di meja rundingan di mana senarai kontraktor-kontraktor yang layak telahpun disediakan. Oleh kerana projek-projek turnkey selalunya projek-projek mega, pihak kementerian yang menentukan siapakah yang layak untuk mendapatkan tender tersebut. Semasa peringkat pemilihan kontraktor dijalankan, projek hanyalah mempunyai cadangan contohnya menyediakan rekabentuk serta menyiapkan kerja bagi hospital bagi hospital dan kontraktorlah orang yang menentukan rekabentuk, mencadangkan jurutera perunding daan menentukan harga projek. Pada peringkat ini dokumen kontrak akan disediakan oleh pihak kontraktor dan pihak majikan akan meneliti dan memberi komen. Semua ini akan ditentukan di meja rundingan. Mereka akan dipilih berdasarkan kepada beberapa perkara di antaranya ialah :
- Pengalaman
Kontraktor haruslah mempunyai pengalaman kerja dan pernah mengurus projek yang berkaitan dengan projek yang hendak dijalankan. Ini bagi menjamin kontraktor yang hendak menjalankan projek mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan bijak dan tepat. Ini dapat memastikan kontraktor yang mendapat projek tersebut mampu melaksanakan projek dengan sempurna dan tidak menghadapi banyak masalah. Harus diingat tanggungjawab kontraktor sangat tinggi dan kontraktor mungkin akan menghadapi pelbagai masalah terutamanya dari segi pengurusan.
- Kedudukan Kewangan
Pihak Kementerian dan pihak yang bertanggungjawab memilih kontraktor haruslah memastikan kedudukan kewangan kontraktor berada pada tahap yang sesuai (mampu melaksanakan projek). Ini sangat penting untuk memastikaan kelancaran projek. Harus diingat, dalam turnkey kontraktor bertanggungjaawab membiayai projek hingga projek siap. Kontraktor juga haruslah memastikan sumber kewangan atau pinjaman yang bakal dibuat dapat menampung perlaksanaan projek. Harus diingat, kontraktor turnkey tidak semestinya satu badan perseorangan. Ia mungkin terdiri dari satu organisasi yang bergabung dan mungkin di dalamnya terdapat badan atau pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan modal. Akan tetapi untuk memudahkan majikan, majikan boleh menerima satu wakil kontraktor sahaja.
- Pekerja Mahir
Pihak yang bertanggungjawab memilih kontraktor haruslah memastikan kakitangan (staff) yang bernaung di bawah kontraktor adalah terdiri daripada mereka-mereka yang berkelayakan dan berpengalaman dalam menjalankan projek yang dirancang. Mereka-mereka (pekerja) ini mungkin terdiri daripada jurutera atau orang yang berpengalaman dalam sesuatu bidang. Ini penting bagi projek yang memerlukan pengalaman teknikal dan kepakaran khas seperti pembinaan terowong, empangan dan jambatan. Sekurang-kurangnya mereka-mereka pernah mengurus dan mengawal perjalanan projek yang berkaitan dengan projek yang bakal dijalankan. Ini dapat memastikan kontraktor mempunyai kakitangan yang cukup dan baik untuk melaksanakan projek.
-Pengalaman dan Rekod Projek yang Lepas
Pihak bertanggungjawab memilih kontraktor hendaklah meneliti dan menyemak projek-projek yang telah dijalankan oleh kontraktor. Ini dapat memastikan kontraktor ini layak dan mampu melaksanakan projek dengan memuaskan. Jika rekod kontraktor baik iaitu dapat melaksanakan projek yang lepas dengan memuaskan, kontraktor tersebut mungkin boleh dicadangkan untuk melaksanakan projek. Jika rekod kontraktor buruk (tidak memuaskan) ia mungkin akan mendatangkan masalah kepada projek yang bakal di dilaksanakan kelak.
Untuk memastikan kontraktor betul-betul layak, rekod kontraktor adalah bersih dan pernah menyelesaikaan projek-projek mega yang rumit atau memerlukan kepakaran yang tinggi dengan jayanya dan memuaskan. Ini dapat memastikan kontraktor yang bakal menjalankan projek mampu melaksanakan projek dengan jayanya.
-Projek yang sedang dijalankan
Wakil pihak majikan yang bertanggungjawab membuat pemilihan haruslah memastikan kontraktor sedang menjalankan projek atau tidak. Jika ada, berapa peratuskah kemajuan projek, bilakah projek akan siap, berapakah nilai projek dan apakah keadaan projek tersebut. Ini penting untuk memastikan kontraktor dapat menumpukan sepenuh perhatiannya ke atas projek yang hendak dijalankan. Sesetengah kontraktor menghadapi masalah apabila sumber kewangan sudah digunakan untuk projek yang sedang dijalankan dan masalah lain serta ini akan menyebabkan kerumitan kontraktor untuk melaksanakan kerjanya kelak. Adalah dinasihatkan majikan memilih kontraktor lain jika kontraktor tersebut sedang melaksanakan projek terutamanya projek yang baru dimulakan pembinaannya. Tetapi berkecuali ke atas kontraktor yang sedang menjalankan projek yang hampir siap sekurang-kurangnya (90% ke atas).
- Peralatan dan Jentera.
Sesetengah kontraktor mempunyai peralatan dan jentera sendiri. Ini dapat membantu menjimatkan kos dan mempercepatkan perjalanan projek. Sesetengah kontraktor dipilih kerana mempunyai peralatan dan jentera khas untuk melaksanakan projek. Ia adalah seperti projek pembinaan terowong, bangunan-bangunan tinggi dan empangan. Projek-projek ini memerlukan peralatan dan jentera khas yang penting untuk melaksanakan projek. Jika pihak majikan memilih kontraktor ini, ia sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kos projek dan masa. Di sini kontraktor tidak perlu memasukkan kos sewa jentera dan peralatan serta tidak perlu membazir masa mengadakan perundingan bagi mencari dan menyewa peralatan serta jentera tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment